Wednesday, January 12, 2011

Messi Pemain Terbaik Dunia 2010






Lionel Messi memegang trofi Ballon d'Or selepas diumumkan sebagai Pemain Terbaik Dunia 2010 FIFA di Zurich, semalam. - AP


ZURICH - Bintang penyerang Argentina, Lionel Messi dinobat sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia buat tahun kedua berturut-turut dan Jose Mourinho pula selaku Jurulatih Terbaik Dunia.
Messi mengejutkan rakan sepasukan yang turut dianggap pilihan utama, Andres Iniesta dan Xavi, yang masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga untuk merangkul trofi baruBallon d'Or FIFA, anugerah prestij yang sebelum ini diadakan secara berasingan dengan FIFA serta majalah bola sepak Perancis.
Mourinho, yang kini membimbing Real Madrid memenangi anugerah Jurulatih Terbaik hasil kejayaan membawa Inter Milan merangkul tiga gelaran besar - Liga Juara-Juara Eropah, Serie A dan Piala Itali.
Mourinho atau jolokkannya Special One mengetepikan jurulatih yang membawa Sepanyol merangkul Piala Dunia, Vicente del Bosque ke tangga kedua, manakala jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berada di tangga ketiga.
"Trofi paling penting buat saya adalah yang ditentukan hasil keputusan secara kolektif dan bukan individu. Ini adalah trofi bersejarah buat saya dan bola sepak Portugal,'' kata Mourinho kepada wartawan selepas mengetepikan Del Bosque dengan menerima 35.92 undi berbanding 33.08 yang diterima pencabarnya.
Iniesta dan Xavi menjadi pilihan utama untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Dunia selepas membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia tahun lalu, pada kejohanan di mana Messi gagal menjaringkan sebarang gol dan tidak mempamer prestasi terbaiknya.
"Saya gembira dapat berada di sini bersama rakan sepasukan. Saya mahu berkongsi kejayaan ini bersama mereka dan bersama rakan-rakan lain yang tiada di sini, bersama rakyat Argentina,'' kata Messi.
Messi muncul pemenang selepas menerima 22.65 peratus undian berbanding Iniesta (17.36) dan Xavi dengan 16.48.
Tahun lalu, Messi memenangi kedua-dua anugerah Terbaik Dunia FIFA dan Ballon D'Or yang ketika itu dilangsung secara berasingan. Satu-satunya pemain yang pernah merangkul gelaran berganda adalah Luis Suarez pada 1960.
Selepas kecewa tidak memenangi sebarang anugerah utama, satu-satunya penawar buat Sepanyol adalah enam pemain mereka berada dalam senarai Pasukan Pilihan Dunia iaitu Iniesta, Xavi, Iker Casillas, David Villa, Carles Puyol dan Gerard Pique. Turut disenarai adalah pemain Brazol, Lucio dan Maicon, pemain Belanda, Wesley Sneijder, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan Messi.
Undian untuk anugerah pemain dan jurulatih terbaik dijalankan oleh semua jurulatih dan kapten skuad kebangsaan serta wartawan terpilih, manakala 50,000 pemain bola sepak profesional pula mengambil bahagian dalam memilih 11 pemain untuk Pasukan Pilihan Dunia.
Messi mempamer aksi cemerlang bersama Barcelona tahun lalu tetapi gagal memberi inspirasi kepada Argentina pada Piala Dunia menyebabkan pasukannya tersingkir di suku akhir. - Reuters



Korea Selatan bermula yakin






Pemain tengah Korea Selatan, Koo Ja-Cheol meraikan jaringan kedua pasukannya ketika menentang Bahrain pada perlawanan Kumpulan C Piala Asia di Stadium Al-Gharafa, Qatar semalam. - AFP


DOHA – Jurulatih Korea Selatan Cho Kwang-Rae memuji sumbangan Koo Ja-Cheol, selepas pemain tengah itu menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan itu menang 2-1 ke atas Bahrain dalam perlawanan pembukaan Piala Asia, semalam.
Koo memainkan peranan cemerlang di bahagian tengah, membantu pemain penyerang Ji Dong-Won, dengan menguji penjaga gol Bahrain, Mahmood Mansoor dan melepaskan rembatan yang terkena pemain lawan, untuk mendahului Bahrain sebelum rehat.
Pemain Jeju United berusia 21 tahun itu, mudah menolak masuk bola ke gawang untuk jaringan kedua pada minit ke-52, apabila pantas melakukan gerakan susulan, selepas Mansoor berjaya menepis percubaan Cha Du-Ri.
Dia kemudiannya dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan dan jurulatihnya memuji kerana gaya permainannya yang versatil.
“Koo Ja-Cheol berkemahiran tinggi, dia boleh beraksi di posisi berbeza, di bahagian tengah dan penyerang.
“Cha Du-Ri juga beraksi baik di posisi pertahanan kanan, jadi kedua-duanya dalam pertimbangan untuk aksi menentang Australia,’’ kata Koo.
Ketua pasukan, Park Ji-Sung, pemain kesayangan pasukan Korea Selatan, berkata dia gembira kerana pasukannya yang terselamat daripada keciciran mata pada aksi pembukaan.
“Secara taktikal, kami amat bagus dan prestasi keseluruhan kami sangat baik
“Perlawanan pertama lazimnya sangat penting, sama ada Piala Asia atau Piala Dunia. Tiga mata ini menjadikan perlawanan berikutnya lebih mudah buat kami. Ia adalah kemenangan penting buat kami,’’ kata pemain Manchester United itu.
Skuad Taeguk Warriors itu akan menentang Australia Jumaat ini, pada perlawanan yang dijangka akan menjadi penentu pasukan mana akan muncul juara Kumpulan C.
Korea Selatan akan beraksi tanpa pertahanan tengah Kwak Tae-Hwi, selepas pemain itu dibuang padang kerana mengasari Abdulla Al-Dakeel, dalam insiden yang menyebabkan Faouzi Aaish kembali memberikan harapan buat Bahrain, apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-85.
Namun, Cho merasakan skuadnya mempunyai pemain yang cukup untuk mengatasi ketiadaan Kwak. - AFP